topbella

Tuesday, October 5, 2010

Suamiku, Kekasihku

Dengan lafaz Bismillah
Aku memulakan bicara
Menyusun kata buat kekasihku, suamiku…

Kakanda,
Suami pujaan hatiku…
Di kala bait-bait puisi ini kurangkaikan
Dadaku terlalu berat
Nafasku sesak…
Ku rasakan hari merangkak lambat
Manakala kita tidak saling bertemu
Gunung kerinduan seakan-akan runtuh
oleh arus perpisahan yang menerjang
lautan dilihat sempadan
begitu zalim memisahkan
kau dan aku

Di dasar ketulan daging berwarna merah kehitaman,
Terbit rasa hiba yang mencuit nostalgia pilu,
Kerinduan tidak dapat dibendung lagi
Ketulan darah kehitaman antara ketulan daging yang berdegup
Dan rongga yang bernafas itu
Serasa dicucuk koyak dan cairan merah pekat
Mengalir di mana-mana

Suamiku, kekasihku…
Tetapi usahlah kau gundah
Kerana aku isterimu…
Sudah bisa mengerti
Pengorbanan kasih sucimu
Dan kerinduan itu bukanlah apa-apa
Hanya sekelumit gelora
Yang menguji cinta suci kita
Aku redha…
Demi Tuhan Yang Maha Mengetahui

Suamiku…pujaan hatiku…..
Di kala kedua bibirmu
Bergetar melafazkan akad
Aku sudahpun meletakkan dirimu
Sebagai raja dihatiku
Mana mungkin kumungkiri lafaz itu kerana
Martabatku
Kau lonjakkan ke persada mulia
Maruahku
Kau junjung ke puncak persona
Dari saat itu,
Jangan sesekali kau ragui cintaku
kerana
Jiwamu adalah hidupku
Nafasmu adalah nadiku
Tawamu adalah kebahagian
Tangismu adalah kedukaanku

Kakanda, suamiku…
Ingin aku lafazkan janji
Sebagai isteri kepadamu,
Inilah hak-hak mu ke atas diriku:
 Pertama
Akan ku patuhi kehendakmu
Tapi jangan engkau ingkari syariat-Nya
 Kedua
Akan ku terima dirimu sepenuh hatiku
Kurangmu kuredhai lebihmu kusyukuri
 Ketiga
Akan ku layani mu setiap detik
Sehingga nafasku yang terakhir
 Keempat
Keizinanmu ku pohonkan
Agar langkahku ke syurga tidak pincang
 Kelima
Kemampuanmu ku kagumi
Kerana engkau suami yang aku hormati
Keenam
Pemberianmu ku syukuri
Jerih perihmu aku hargai
 Ketujuh
Keindahanku hanya untukmu
Nikmatilah sepuas hatimu

Kekanda, suamiku…
Agar langkah kita tidak pincang
Berjalan tidak tempang
Larian kita tidak songsang
Maka berikanlah hak-hakku ke atas dirimu:
 Pertama
Berikan aku mahar mu
Itulah isyarat kewajipanmu
 Kedua
Layani aku bagaikan permaisuri
Kerana aku pilihanmu
 Ketiga
Berikan aku nafkah yang halal
Kerana aku tak mampu tanggung azab neraka
Keempat
Berlemah lembut dan sabarlah terhadapku
Kerana aku wanita lemah
 Kelima
Didiklah aku dan anak-anakmu
Kerana engkau pemimpin ke jalan syurga

Suamiku…
Demi keluarga sakinah
Yang penuh mawaddah dan rahmah
Izinkan aku
Untuk terus berada di sampingmu
Menjadi penghiburmu
Di kala sedih
Menjadi penyembuhmu
Di kala sakit
Menjadi penglipur laramu
Di kala sunyi
Menjadi tasik madumu
Di kala kau di puncak kerinduan
Jangan kau zalimi aku
Dengan memisahkan aku
Jauh darimu
Kerana redhamu aku dambakan
Untukku menuju
Ke syurga bahagia
Sebagaimana Yang Allah
Telah janjikan kepadaku

Suamiku….kekasihku
Aku mohon padamu
Dambakanlah aku
Sebagaimana Adam mendambakan Hawa
Hargailah aku
Sebagaimana Syah Jehan menghargai Mumtaz
Nescaya aku akan…
 Setia kepadamu
Sebagaimana Laila setia kepada Majnun
Mengagumimu
Sebagaimana khadijah mengagumi RasulNya.

Kakanda…suamiku…kekasih hatiku…
Adinda ingin akhiri puisi ini
Sebagai tanda bermulanya langkah
Menjadikan dirimu, kakanda  sebagai matlamat hidupku…
Jangan kakanda murka
Jika kata-kata ini menggetarkan amarahmu
Kerana niat adinda ikhlas
Mengungkapkan rasa cinta membara kepada mu Kakanda…
Semoga usaha kita menuju ke jalan bahagia
Dunia dan akhirat
Akan mendapat Keredhaan-Nya…
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
segala apa yang terdetik di dasar hati hamba-hambanya...

0 comments:

Post a Comment

Aku tetap aku...

My photo
Aku insan biasa yang dilahirkan d bumi Allah SWT ini. Nothing special about me. PEACE NO WAR!!!!!
 
...amYunus...© Diseñado por: Compartidisimo